PULAU PERHENTIAN
PANTAINYA PUTIH LAUTNYA BIRU
Suatu waktu dahulu ia hanya dikenali sebagai tempat persinggahan dan perlindungan bagi nelayan ketika rebut, tetapi hari ini ia muncul sebagai salah sebuah pulau pelancongan yang tercantik di negara ini. Itulah Pulau Perhentian-pulau damai yang masih terpelihara keindahan semulajadinya.
Pulau ini terletak kira-kira 20km dari pantai Besut, Terengganu. Perjalanan dari Kuala Besut ke pulau ini mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit. Pulau ini terbahagi kepada dua-Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar atau lebih dikenali sebagai Pulau Perhentian sahaja. Kedua-dua pulau ini dipisahkan oleh selat kecil selebar setengah kilometer. Pulau Perhentian Kecil merupakan perkampungan nelayan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan asasnya.
Deretan pohon kelapa, pantai berpasir putih dan laut biru yang tenang, dapat menambat hati setiap pengunjung dan pencinta alam yang datang ke sini. Pulau Perhentian diindahkan dengan pantainya yang berteluk cetek dan berbatu cantik, sesuai untuk mandi-manda. Di sepanjang pantai dapat melihat pelbagai jenis dan bentuk batu karang serta moluska laut seperti siput, tiram dan tumbuhan laut yang jarang ditemui di pantai-pantai biasa. Bagaimanapun, pengunjung-pengunjung dilarang keras memungut sebarang jenis hidupan laut ini, kerana pulau ini dilindungi di bawah Jabatan Perikanan dan Kementerian Alam Sekitar.
Bagi anda yang minat memancing boleh memancing di sepanjang pantai dan teluk di pulau ini. Jika anda bercadang mengelilingi pulau sambil memancing, bot boleh disewa dengan kadar RM20-RM50 bagi satu kumpulan berjumlah antara 5 hingga 20 orang.
Kalaulah ditakdirkan bekalan makanan anda bawa habis, usahlah bimbang. Di sini terdapat beberapa buah restoran mini. Makanan lautnya pelbagai, segar dan harganya sederhana.
Anda juga mungkin berpeluang menikmati pengalaman ke laut bersama-sama dengan nelayan yang singgah di situ. Jika bernasib baik dan tepat pada musimnya, anda berpeluang melihat penyu bertelur di pantai pulau ini.
Jika anda bercadang berkunjung atau bercuti ke pulau ini, bolehlah menghubungu Pejabat Daerah Besut untuk urusan bot dan pengangkutan dan tempahan chalet.
Chalet-chalet itu mempunyai bekalan air dan elektrik di samping peralatan dapur untuk kemudahan mereka yang bercadang bermalam. Kadar sewanya sederhana antara RM10 hingga RM20 satu hari. Anda juga boleh berkhemah (camping) di sepanjang pantai pulau ini.
OLEH ROZAMAN ISMAIL RAMONAS
Tuesday, January 19, 2010
Pulau Perhentian Pantainya Putih Lautnya Biru
Labels: Tempat Menarik di Negeri Terengganu
Posted by Aimad at 6:52 PM 0 comments
Pulau Kapas
PULAU KAPAS
Kira-kira seratus tahun lampau, Pulau Kapas yang terletak enam kilometer dari Pantai Marang, Terengganu amat ditakuti oleh penduduk dan nelayan tempatan. Mereka cukup takut berteduh terutamanya pada musim tengkujuh. Mereka takut dan khuatir nyawa terancam apbila mendekatinya.
Pulau Kapas dikatakan berpenunggu puaka-beberapa orang yang singgah di situ menerima nasib malang, menemui ajal dalam keadaan yang ngeri dan memilukan. Memang ada di kalangan nelayan-nelayan yang menjadi mangsanya, ada juga yang hilang begitu sahaja. Demikian menurut cerita beberapa orang penduduk setempat.
Selain itu, terdapat cerita yang diperturunkan dari mulut ke mulut tentang asal usul Pulau Kapas, iaitu tentang adanya seekor harimau ganas yang tidak diketahui jenisnya yang sentiasa membaham sesiapa sahaja yang berada di situ. Harimau tersebut kononnya dapat berubah wajah menjadi orang tua atau perempuan cantik yang pandai menggoda.
Apabila bertukar wajah menjadi orang tua ia meminta orang melakukan sembahan-sama ada kambing atau anak lembu. Darahnya hendaklah dihantar ke puncak bukit di situ. Jika ingkar, ia bertukar menjadi harimau, lantas membaham yang ingkar.
Apabila menyerupai perempuan cantik, ia lantas sahaja menggoda. Apabila mangsanya tergoda, ia berubah menjadi harimau dan membaham mangsanya.
Bagaimanapun, orang yang ke Pulau Kapas kini tidak pernah berasa bimbang atau takut lagi. Segala cerita tentang puaka dan harimau itu tinggal dongeng. Pulau Kapas kini menjadi pulau pelancongan yang kian sibuk.
Pulau Kapas yang terletak di perairan Terengganu dikelilingi air laut yang jernih bagaikan kaca sehingga kelihatan batu-batu karang dan ikan pelbagai jenis berwarna-warni.
Pantainya putih bersih dan pemandangannya begitu menarik dengan batu-batan menghampar ke laut. Ia berbukit-bukit dengan hutan menghijau.
Pulau ini juga mempunyai beberapa keistimewaan lain, termasuk sebuah perigi berair sejuk semulajadi. Ia juga sesuai bagi yang berminat dengan aktiviti berperahu, menangkap ikan, menyelam, berkelah dan memancing.
Untuk tiba di pulau ini tidak begitu menyulitkan. Memandangkan terdapat banyak perkhidmatan bot penumpang dari pantai Marang. Pejalan sejauh enam kilometer mengambil masa kira-kira 30 minit. Sebarang tempahan dan pertanyaan boleh dibuat menerusi Hotel Pantai Primula, Kuala Terengganu.
TAMAN LAUT
Sebagai tetamu Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman, ahli-ahli PERTAMA telah dibawa melawat Pulau Kapas yang diisytiharkan sebagai Taman Laut yang diberi perlindungan dan perhatian oleh Kerajaan Terengganu
Pulau Kapas dengan keluasan 2.72 km persegi memang mengkagumkan. Sepanjang pantai memutih umpama kapas. Air laut yang jernih kebiruan bagaikan cermin, dari permukaannya jelas kelihatan pemandangan di dasarnya, batu-batu karang yang hidup dan mati ditutupi lumut laut dapat dihayati. Begitu juga kumpulan ikan-ikan kecil berkilauan berenang ke sana sini di celah-celah batu karang dan sepanjang pantai sungguh menghiburkan serta menyeronokkan.
Angin dingin bertiup dari arah Laut Cina Selatan begitu nyaman, burung-burung Camar berwarna putih bersih berterbangan di permukaan laut dengan riangnya, bagaikan sedang memperagakan tarian dari syurga.
Pulau Kapas menurut ceritanya didatangi oleh penyu dari jenis Agar untuk bertelur sepanjang bulan Jun hingga Oktober pada setiap tahun.
Untuk sampai ke Pulau Kapas kita perlumenaiki bot dari pengkalan nelayan di Marang dengan perjalanan sejauh enam kilometer, mengambil masa lebih kurang 45 minit setelah bergelut dengan ombak dan gelombang. Dari atas bot jelas kelihatan keindahan laut di persekitaran dan juga gunung-ganang di sekeliling pulau yang begitu menarik, terutama kepada pencinta alam semulajadi.
Pulau Kapas merupakan syurga bagi penyelam, snoorkeling, scuba diving dan aktiviti seumpamanya. Airnya yang jernih memberikan ketenangan kepada para pengunjungnya. Perkhidmatan bot dengan kadar bayaran RM15 seorang pergi balik, tempat penginapan chalet dan kemudahan-kemudahan sampingan yang lain memang disediakan untuk para pengunjung dengan layanan ramah dan mesra daripada pekerja-pekerjanya.
Di pulau ini pelancong bukan sekadar dapat menikmati keindahan pantai dan Taman Lautnya malah hampir 95% kawasannya dipenuhi oleh bukit dan gunung-ganang yang ditumbuhi oleh hutan hijau semulajadi. Pulau ini juga merupakan tempat perlindungan nelayan sewaktu musim tengkujuh.
Terdapat berbagai lagenda mengenai pulau ini yang dipercayai oleh penduduk-penduduk tempatan. Kononnya pada suatu masa dahulu sepanjang pantai pulau ini pasirnya berwarna kuning. Sebuah kapal dagang membawa muatan kapas telah tenggelam berhampiran di situ.
Semua muatan kapal hanyut dibawa ombak ke pantai pulau lalu mengubah warna pasirnya hingga menjadi putih. Sebab itulah pulau ini dinamakan Pulau Kapas. Satu lagi lagenda mengatakan pada zaman dahulu sesiapa yang pergi ke pulau ini pasti akan mati dan pulau ini melambangkan kapas bagi mengapankan orang yang telah mati di sana.
Berbagai lagenda lain dapat didengar daripada penduduk tempatan, tetapi biar apa pun dongeng yang diperdengarkan, pulau ini begitu menarik perhatian pengunjungnya, kaya dengan keindahan, menawarkan ketenangan dan kedamaian yang pasti mencengkam citarasa pengunjungnya.
Usaha positif daripada pihak berwajib ke arah memajukan dan memperkenalkan Pulau Kapas sebagai suatu destinasi pelancongan terkenal amat cerah kelihatan, dan tidak kurang pentingnya ia merupakan suatu khazanah unggul warisan kekayaan negeri Terengganu Darul Iman.
OLEH FARIDAH ANOM ARSHAD
Labels: Tempat Menarik di Negeri Terengganu
Posted by Aimad at 6:49 PM 0 comments